
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu komited memperkasa sektor pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan khusus kepada pengajian al-Quran melalui usaha menaik taraf Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) kepada Kolej Universiti Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, inisiatif tersebut sedang giat dipersiapkan sebagai sebahagian daripada perancangan hala tuju pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat di negeri itu.
“Pembangunan Kampus Induk Durian Mentangau bagi Kolej Universiti Islam ini sedang berjalan lancar dan dijangka mampu menempatkan seramai 1,500 mahasiswa pada fasa pertama, manakala fasa kedua akan menambah kapasiti sehingga 3,000 orang mahasiswa.
“Pendidikan tinggi di negeri Terengganu juga bakal menyaksikan hab pendidikan Islam Nusantara dikembalikan semula. Ini bertepatan dengan visi KQT yang sentiasa berusaha menjadi pusat kecemerlangan pengajian Al-Quran dengan pelbagai disiplin ilmu secara bersepadu yang terunggul di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Imaratul Ilmi ke-5 Kolej Al-Quran Terengganu di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.
Menurut Satiful, bagi mencapai objektif itu, institusi-institusi pendidikan tahfiz di Malaysia amnya dan Terengganu khasnya perlu diperkasakan sama ada dari segi pengurusan, pentadbiran serta proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kedua-dua elemen ini dilihat sebagai faktor utama untuk mencapai pendidikan yang berkualiti bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan mencapai pendidikan yang berkualiti serta dapat melahirkan pelajar yang berketerampilan.
“Oleh yang demikian, kerajaan negeri akan terus mendokong usaha untuk meningkatkan kapasiti pentadbiran dan pengurusan KQT serta menyediakan prasarana pengajian yang kondusif seiring dengan Teras Strategik Jawatankuasa portfolio ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2024











