
SERDANG: Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa melakukan kunjungan hormat ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan, di sini petang semalam.
Dalam pertemuan tersebut, Annuar menyatakan kesyukurannya dapat berbincang dan menimba ilmu daripada negarawan ulung itu sambil menikmati sesi minum petang.
“Seperti biasa, saya dapat belajar banyak perkara setiap kali bersama Tun. Perbualan kami sentiasa bertumpu kepada soal masa depan negara dan rakyat, terutama orang Melayu dan kaum Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Pada pertemuan itu juga, isu antarabangsa turut disentuh dalam perbualan mereka, termasuk perjuangan rakyat Palestin serta situasi negara-negara Islam lain.
Menurut Annuar, pada sesi perbincangan itu, Dr Mahathir pernah menunjukkan rasa sebak apabila bercakap mengenai harapannya untuk masa depan orang Melayu dan Malaysia.
“Sangat kuat patriotismenya. Kami berkongsi pandangan dalam banyak perkara. Ada ketika Tun tiba-tiba sebak bila menyentuh harapannya untuk masa depan orang Melayu dan Malaysia,” ujarnya lagi.
Annuar yang pernah dilantik ke dalam Kabinet Dr Mahathir pada tahun 1990, turut mengenang hubungan baik mereka meskipun pernah berada dalam parti politik yang berbeza.
“Pernah berpisah dan berada dalam parti yang berbeza, malah saya menjadi pembangkang di Parlimen semasa Tun menjadi Perdana Menteri kali kedua.
“Namun, saya tetap melihat Tun sebagai negarawan ulung, mentor utama, dan sumber inspirasi perjuangan yang amat saya kagumi dan kasihi,” katanya.
Annuar turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali sentiasa dalam keadaan sihat dan diberi kekuatan untuk terus menabur bakti kepada agama, bangsa, dan negara.
“Doa saya semoga Tun dan Tun Hasmah sentiasa dalam rahmat Allah SWT,” tambah beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan bekas Setiausaha Agung Umno.
Kunjungan tersebut membuktikan penghormatan Annuar terhadap Dr Mahathir, sekali gus menggambarkan nilai persahabatan yang melangkaui perbezaan politik. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











