‘Kita sedang saksi budaya masyarakat Islam dibunuh’

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesan negatif perkembangan dunia siber yang semakin meresap terhadap budaya masyarakat terutama dalam aspek nilai dan hubungan sosial.

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, masyarakat kini berdepan ancaman serius termasuk anak-anak yang terdedah kepada kandungan tidak wajar sejak usia muda.

“Kita sedang menyaksikan budaya masyarakat Islam dan timur dibunuh. Nilai-nilai seperti hormat antara anak dengan ibu bapa dan rakyat dengan pemimpin semakin terhakis akibat pengaruh negatif dunia siber,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian 2024 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Hussin turut memberi amaran tentang kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah pindaan rang undang-undang ini.

“Peranan SKMM diberikan kuasa yang terlalu banyak sehingga boleh mengintip, melihat dan mendengar segala bentuk ucapan yang diperbualkan oleh mana-mana pihak dengan erti dia sudah menceroboh hak peribadi seseorang,” katanya.

Justeru, beliau meminta jaminan daripada kerajaan dan kementerian bahawa kuasa yang diberikan kepada SKMM akan disertai dengan kawalan ketat untuk mengelakkan penyalahgunaan. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -