
KUALA TERENGGANU: Negeri Terengganu telah merekodkan kerugian keseluruhan sektor pertanian berjumlah RM6.529 juta akibat banjir gelombang pertama yang melanda akhir November hingga awal Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, seramai 739 petani sawah padi melibatkan kawasan seluas 1,201.49 hektar terjejas, dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM2.48 juta.
“Bagi sektor tanaman agromakanan, seramai 250 orang petani terlibat banjir merangkumi 162.4 hektar tanaman mengakibatkan kerugian kira-kira RM1.209 juta.
“Sektor perikanan tidak terkecuali turut terkesan. Bagi subsektor akuakultur, seramai 85 orang penternak menerima kesan dari musibah banjir sama ada sangkar rosak dan dihanyutkan air, kematian ikan termasuk juga ikan terlepas ke perairan umum apabila kolam ternakan ditenggelami air. Jumlah kerugian dianggarkan RM1.57 juta.
“Bencana kepala air yang berlaku di Sungai Kampung Telaga Papan, Setiu pada 1 Disember tahun ini telah menghanyutkan 27 buah bot dan sampan milik nelayan tempatan yang sedang berlabuh dengan anggaran kerugian RM1.27 juta apabila banyak bot yang pecah serta mengalami kerosakan enjin dan beberapa peralatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook miliknya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu, semalam.
Beliau berkata, rakyat Terengganu terkesan akibat musibah tersebut akan dibantu menerusi Tabung Bencana Pertanian Negeri yang diwujudkan untuk meringankan beban mereka terjejas, serta membantu mereka bangkit kembali dari ujian menimpa.
“Selain bantuan kerajaan negeri yang juga bertindak sebagai pemudahcara bagi mengemukakan permohonan ke Putrajaya untuk memohon beberapa skim bantuan yang ada di bawah Tabung Bencana Pertanian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Dapatlah disimpulkan bahawa petani, penternak dan nelayan Terengganu agak beruntung kerana mendapat kedua-dua bantuan dari Negeri dan Pusat.
“Semoga semua rakyat kita yang ditimpa bencana bersabar dengan ujian Allah. Berdoalah semoga Allah menggantikan kehilangan ini dengan gantian yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya, dalam Mesyuarat tersebut, turut dipertimbangkan permohonan bantuan bagi bencana lain seperti kemusnahan tanaman, kerosakan infrastruktur dan kematian ternakan.
Iaitu akibat dari beberapa bencana seperti kemarau, kebakaran, ribut, wabak penyakit, panahan petir, serangan haiwan liar dan beberapa fenomena alam lain seperti air surut mengejut dan penurunan kadar kematian air. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











