Terengganu terima royalti lebih RM1 juta daripada KUTT

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti sebanyak RM1,101,489.10 daripada anak syarikat kerajaan negeri, Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT), bagi tahun 2024.

- Advertisement -

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bayaran itu juga diberikan sebagai imbalan daripada kerajaan negeri atas pelantikan KUTT untuk membangunkan koridor utiliti negeri termasuk menyediakan pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti.

Katanya, KUTT turut mengembalikan pulangan manfaat kepada rakyat dengan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Tabung Darul Iman sebanyak RM350,000.

Selain itu, ujarnya KUTT juga mengembalikan pulangan manfaat kepada Yayasan Terengganu sebanyak RM500,000 bagi Program MBI-Youth Talent Scholarship untuk para pelajar negeri ini yang layak.

“Tahniah, penyerahan sumbangan KUTT kepada kerajaan negeri, Yayasan Terengganu dan Tabung Darul Iman juga menjadi bukti hasil pencapaian pendapatan yang diperoleh dan hasil kerjasama kakitangan serta pihak pengurusan KUTT,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, hari ini.

Sesi penyerahan mock cheque bayaran royalti daripada KUTT kepada kerajaan negeri telah berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam. (Foto atas)

Royalti RM1,101,489.15 itu sebagai kontribusi kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili berkata, KUTT telah mencatatkan pertumbuhan kewangan yang memberangsangkan hasil daripada prestasi cemerlang daripada semua bahagian yang membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang untuk menyumbangkan bayaran kontribusi buat kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -