Kehakiman tak bebas, dimanipulasi, integriti rapuh?

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Johor memandang serius isu penarikan balik rayuan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan kes Sistem Visa Luar Negara (VLN).

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, keputusan yang diputuskan itu menimbulkan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan segera dan tindakan sewajarnya demi menjaga integriti serta ketelusan sistem keadilan negara.

“PAS Johor menggesa Peguam Negara untuk memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai asas keputusan menarik balik rayuan tersebut.

“Penjelasan ini amat penting untuk mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap institusi perundangan negara, di samping memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan tidak terus terhakis.

“Keputusan ini memberi kesan langsung kepada persepsi rakyat terhadap prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial.

Beliau berkata, PAS Johor menyeru agar AGC dan pihak berkuasa berkaitan bertindak secara telus dengan memperincikan sebab-sebab keputusan ini, termasuk pertimbangan undang-undang yang diambil kira.

Katanya lagi, PAS Johor juga ingin memastikan sistem kehakiman kekal bebas daripada sebarang pengaruh politik atau kepentingan tertentu.

Ustaz Abdullah berkata, dalam suasana di mana keyakinan rakyat terhadap integriti pemimpin dan institusi negara semakin rapuh, penjelasan serta tindakan susulan yang jelas diperlukan untuk memulihkan kepercayaan ini.

Tambah beliau lagi, PAS Johor turut menegaskan bahawa sistem perundangan negara mesti berfungsi secara adil, saksama, dan bebas daripada sebarang manipulasi.

PAS Johor mencadangkan agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur tidak wajar dalam keputusan menarik balik rayuan ini.

“Pemantauan awam yang melibatkan badan pemantau bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan ketelusan proses.

“Reformasi Institusi bagi mengkaji semula peranan AGC dalam membuat keputusan pendakwaan, termasuk memisahkan fungsi pendakwaan daripada Peguam Negara untuk memastikan kebebasan sepenuhnya.

“PAS Johor menyeru semua pemimpin negara untuk menjadikan integriti dan akauntabiliti sebagai prinsip utama dalam pentadbiran. Sebarang tindakan yang boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan mesti ditangani dengan segera dan tegas,” tegasnya.

Beliau berkata, PAS Johor sekali lagi menegaskan pendirian untuk terus memperjuangkan keadilan, ketelusan, dan kedaulatan undang-undang demi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang amanah dan dihormati. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -