
KUALA TERENGGANU: Hukuman sebatan terhadap pesalah khalwat berulang akan kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini selepas solat Jumaat, pada 27 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu bersidang pada 11 Disember lalu dan memutuskan untuk mengekalkan hukuman tersebut.
“Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa Permohonan Semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
“Hasil persidangan itu, Mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024, adalah dikekalkan.
“Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dalam kenyataan media, hari ini.
Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman enam sebatan di luar penjara terhadap pesalah khalwat berulang di sebuah masjid.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara yang sepatutnya dijalankan pada 6 Disember digantung buat sementara waktu selepas satu Permohonan Semakan difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember 2024.
Dr Muhammad Khalil juga berkata, hukuman sebatan itu akan dijalankan mengikut undang-undang jenayah syariah takzir bagi memberikan pengajaran kepada masyarakat.
“Saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.
“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan hukuman sebatan ini turut bertujuan untuk membezakan antara sebatan sivil dan syariah yang menitikberatkan aspek mendidik berbanding menyakiti.
“Kerajaan Negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











