87 kes lebur cetus syak wasangka agenda sulit

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Madani ternyata gagal menegakkan prinsip ketelusan dan keadilan susulan tindakan penarikan balik rayuan ke atas 40 pertuduhan rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan menyifatkan tindakan itu mencemarkan institusi kehakiman negara dan menimbulkan persoalan sama ada wujud campur tangan politik atau pengaruh tidak wajar dalam proses perundangan. 

“Persoalan utama yang mengganggu fikiran rakyat adalah mengapa Jabatan Peguam Negara begitu cepat menarik balik rayuan dalam kes melibatkan pemimpin kanan kerajaan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut beliau, keputusan itu mencetuskan syak wasangka berhubung kewujudan sistem keadilan dua darjat di Malaysia dan turut mempersoalkan komitmen Kerajaan Madani dalam memerangi rasuah, khususnya selepas 87 kes dileburkan dalam tempoh singkat. 

“Ia bukan sahaja mencemarkan prinsip kesaksamaan undang-undang, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi awam,” katanya lagi.

Aireroshairi mendesak Kerajaan Madani memberikan penjelasan menyeluruh berhubung keputusan berkenaan, sambil mengingatkan bahawa kegagalan berbuat demikian hanya akan meningkatkan spekulasi mengenai agenda tersembunyi dalam sistem perundangan negara. 

“Rakyat berhak mengetahui setiap perincian berkenaan keputusan yang mencurigakan ini. Kerajaan Madani perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah menegakkan keadilan tanpa mengira kedudukan politik atau status sosial individu yang terlibat,” tegasnya. 

Beliau turut memperingatkan bahawa percubaan mengaburkan kebenaran boleh mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -