
KUALA LUMPUR: Bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bertujuan membantu pesawah yang terjejas akibat bencana termasuk kerosakan tanaman yang mengakibatkan kerugian besar.
Sehubungan itu, Senator Abdul Nasir Idris meminta penjelasan mengenai bantuan awal yang disalurkan melalui TBTP khususnya di Kedah.
“Berapakah jumlah bantuan pesawah dan bilangan pesawah yang mendapat manfaat daripada tabung berkenaan dan juga agensi yang diberikan tanggungjawab untuk mengagihkan bantuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM8.38 juta kepada 4,946 pesawah yang terjejas yang melibatkan kawasan musnah seluas 7,400 hektar pada 2023.
“Bagi tahun ini pula, setakat Oktober, bantuan sebanyak RM13.23 juta telah disalurkan kepada 6,747 pesawah melibatkan kemusnahan kawasan seluas 12,800 hektar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











