
PERMATANG PAUH: Kenaikan kadar caj tempat letak kereta (TLK) Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) adalah keputusan tidak wajar, menindas dan tidak bertimbang rasa terhadap rakyat.
Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hasan menyifatkan langkah itu tidak relevan jika tujuan Kerajaan Pulau Pinang adalah untuk menambah hasil kewangan.
Beliau mengulas kadar caj TLK sehingga 100 peratus yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 seperti diumumkan oleh Datuk Bandar MBPS baru-baru ini.
“Pengguna kenderaan yang terkesan dengan kenaikan ini, sebahagian besarnya adalah rakyat umum yang sedang berdepan tekanan ekonomi akibat kenaikan harga barangan keperluan yang tidak terkawal.
“Dengan kadar harga air oleh PBA Pulau Pinang yang turut meningkat, kini rakyat sekali lagi dibebani,” bidasnya.
Kadar baharu TLK menyaksikan caj parkir meningkat daripada RM0.40 kepada RM0.80 sejam, RM3.00 kepada RM6.00 sehari, dan RM75 kepada RM150 sebulan.
Selain itu, kadar baharu turut melibatkan caj tempoh penggunaan singkat iaitu RM0.40 bagi tempoh parkir selama 30 minit, bagaimanapun kadar sewaan petak khas kekal pada RM200 sebulan.
Justeru, pihaknya mendesak agar kerajaan negeri segera menghentikan keputusan MBSP yang disifatkan sebagai keterlaluan dan menekan rakyat. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











