Presiden PAS terima kunjungan Jamaat Islami Bangladesh

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan bersama Presiden Jamaat Islami Bangladesh (BJI) Dr Shafiqur Rahman di Cyberjaya, di sini hari ini.

Pertemuan disertai delegasi tertinggi BJI iaitu dua Penolong Setiausaha Agungnya, Maulana Rafiqul Islam dan Hamidur Rahman berlangsung dalam suasana ukhuwah erat di Pejabat Yayasan Permata Ummah, di sini.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mengiringi Tuan Guru menyifatkan kunjungan BJI ke atas PAS itu sebagai pertemuan bersejarah.

- Advertisement -

Menurut beliau, pertemuan itu menjadi platform penting memperkukuh hubungan antara dua gerakan Islam yang mempunyai matlamat perjuangan sama, iaitu menegakkan keadilan dan membawa kesejahteraan kepada umat Islam.

Kongsi beliau, delegasi BJI tersebut dalam pertemuan itu meminta pandangan dan nasihat Presiden PAS mengenai perubahan politik yang sedang berlaku di Bangladesh.

“Sebagai seorang tokoh ulama dan pemimpin politik yang dihormati di peringkat antarabangsa, Tuan Guru Presiden berkongsi pandangan yang mendalam mengenai strategi perjuangan politik yang matang dan sejahtera.

“Beliau menasihatkan agar perjuangan politik berteraskan Islam terus berlandaskan kesabaran, hikmah, serta hubungan erat dengan rakyat,” kata ADUN Batu Buruk itu.

Delegasi BJI juga maklumnya, mengucapkan penghargaan atas nasihat dan pandangan Tuan Guru Abbdul Hadi yang dianggap sebagai pedoman penting dalam mendepani cabaran politik semasa di Bangladesh.

Selain itu beritahu Ustaz Khalil, pertemuan turut membincangkan potensi kerjasama antara PAS dan BJI dalam memperkukuh jaringan gerakan Islam di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu berkata, pertemuan itu membawa harapan besar untuk memperjuangkan kepentingan umat Islam sejagat.

“Semoga hubungan erat ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada umat Islam di serata dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2024

- Advertisement -