
PADANG SERAI: Kedah terus kukuh sebagai hab ekonomi, teknologi dan pembangunan mampan dengan terbinanya kilang Eve Energy Malaysia yang menjadi pintu gerbang kepada inovasi global dan teknologi hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pembinaan kilang berkenaan sekali gus mengukuhkan peranan Kedah dalam landskap perindustrian Malaysia dan meningkatkan kedudukannya di peta global.
“Melalui sistem pengeluaran yang canggih dan inovasi terkini, EVE Energy bakal mentransformasikan rantaian bekalan bateri litium global. Ia juga menjadi pintu gerbang kepada inovasi global dan teknologi hijau selaras dengan aspirasi ‘The Greater Kedah’,” jelasnya.
Menurutnya, pembukaan kilang bateri litium itu merupakan asas kepada kemajuan monumental dan berkembang menjadi warisan inovasi, kemampanan serta kejayaan bersama.
Katanya Kedah juga akan mendapat manfaat daripada pelaburan signifikan, setelah berjaya menduduki tempat pertama dalam sektor pembuatan di Malaysia bagi suku ketiga 2024 dengan RM 32.6 bilion pelaburan yang diluluskan.
‘Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.16 bilion, kilang EVE Energy bakal menyerlahkan sistem pengeluaran canggih dan inovasi tenaga hijau.
“Selain dapat menyediakan 2,000 peluang pekerjaan,” tambahnya beliau pada majlis pelancaran kilang tersebut di Padang Meha, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berkata lagi, melalui projek ini juga akan meningkatkan pembangunan komuniti tempatan serta menyediakan peluang latihan berharga dan merangsang ekonomi Kedah.
“EVE Energy di Kedah ini bukan sekadar pengembangan pengeluaran, ia adalah komitmen kepada pembangunan mampan dan kecemerlangan teknologi.
“Oleh itu kerajaan negeri akan terus memberi sokongan padu untuk memastikan Kedah kekal menjadi mercu peluang dan inovasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2024












