
KOTA BHARU: Biarpun banjir telah reda di Kelantan, namun orang ramai diminta sentiasa berwaspada kerana Monsun Timur Laut belum berakhir.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembngunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim berkata, bila-bila masa sahaja hujan akan turun.
Beliau bagaimanapun berkata, cuma banjir tahun ini berbeza berbanding biasa kerana selalunya banjir besar atau melanda pada gelombang ketiga.
“Namun apa yang berlaku tahun ini, mangsa banjir terpaksa mengharunginya pada gelombang pertama.
“Ada yang menyifatkan (mangsa banjir) lebih teruk berbanding bencana pada 2014 dan 1967, dengan tiga kawasan parlimen – Rantau Panjang, Tumpat, dan Pasir Mas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyambut ketibaan Misi Bantuan Banjir Perakan Malaysia di JKR 10, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Sri Takiyuddin Hassan dan Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN Malaysia), Datuk Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin.
Juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BBC Kelantan, Datuk Abdul Rahman Yunus dan ADUN-ADUN.
Namun kata Rohani, di sebalik ujian ini bantuan daripada pelbagai pihak, termasuk anak-anak Kelantan di perantauan, menjadi penyokong utama.
“Yayasan Mahabbah, FGV, NGO-NGO turut menghulurkan sumbangan, membawa rezeki kepada mangsa-mangsa banjir. Sumbangan ini adalah rezeki dan pahala buat kita semua untuk membantu.
“Terima kasih kepada semua penyumbang yang terus cakna terhadap keadaan saudara-saudara kita di sini,” katanya.
Datuk Abdul Rahman dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghulurkan sumbngan. – HARAKAHDAILY 15/12/2024











