PERAKAN beri bantuan luar biasa untuk mangsa banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Persatuan Anak Kelantan Perantauan (PERAKAN) melancarkan misi bantuan banjir berskala besar di Kelantan sehingga berjaya mengumpulkan peruntukkan sejumlah RM160,000.

- Advertisement -

Sumbangan berupa pelbagai keperluan termasuk kewangan itu melibatkan penyertaan PERAKAN dari seluruh negara, termasuk Perlis dan Johor.

Presiden PERAKAN, Datuk Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin berkata, usaha kali ini dianggap luar biasa, dengan semangat perpaduan yang diwariskan Almarhum Tuan Guru Tan Sri Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa menjadi pegangan.

“Banjir besar 2014 pernah kita lalui, tetapi kali ini, bantuan yang dihimpunkan adalah antara yang terbesar pernah PERAKAN anjurkan. Hasil kerjasama anggota PERAKAN dari seluruh Malaysia, kita berjaya menyelaraskan misi ini walaupun berdepan cabaran,” katanya.

Tambahnya, dengan moto ‘Sepakat Setia Sokmo’, PERAKAN menekankan pentingnya menghayati semangat persaudaraan Islam yang diajarkan oleh Almarhum Tuan Guru.

Tambahnya, melalui Ahli Jawatankuasa PERAKAN Pusat, negeri, dan cawangan telah berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM160,000, selain mendaftarkan 40 kenderaan pacuan empat roda untuk misi bantuan ini.

“Walaupun jumlah ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak, namun  ia adalah hasil pengorbanan dan niat murni anggota kami. Mereka bersedia untuk membantu mangsa banjir di Kelantan seikhlas hati,” tambah beliau.

Pada majlis itu, beliau berkata PERAKAN juga bertekad untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam menangani krisis banjir.

Menurutnya, misi ini adalah bukti kukuh perpaduan dan ukhuwah Islamiah yang mampu menggerakkan perubahan besar dalam membantu rakyat memerlukan.

“Kami akan terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri, kerana inilah perjuangan dan niat kami untuk membantu,” ujar Aminuddin lagi. – HARAKAHDAILY 15/12/2024

- Advertisement -