
KUANTAN: Projek Paip Agihan Air Kemaman ke Gebeng merupakan inisiatif strategik antara Terengganu dan Pahang untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan kedua-dua negeri melalui perkongsian sumber air.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bekata, dengan penyaluran paip air bersih itu, ia akan menyokong pertumbuhan dan keterjaminan bekalan air bagi kawasan industri di Gebeng, termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).
“Secara khususnya, daerah Kemaman dijangka menyaksikan pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan aktiviti industri dan pembukaan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik di antara kedua-dua negeri, memperkukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan yang strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini.
Menurut Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman, kejayaan projek itu hanya mampu dicapai melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri Pahang dan semua pihak berkepentingan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wan Rosdy, rakan-rakan dari Kerajaan Negeri Pahang, serta agensi-agensi yang menjayakan projek ini, khususnya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP),” katanya.
Beliau berharap projek itu akan memberikan sumbangan signifikan terhadap kemajuan kedua-dua negeri, serta merealisasikan visi menjadikan Wilayah Pantai Timur sebagai pusat ekonomi yang dinamik, makmur dan mampan. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











