
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus), menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Rang Undang-undang (RUU) Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 yang bakal membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, pindaan yang mengetatkan kawal selia terhadap pelepasan sisa dari tangki septik individu akan meningkatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan tangki septik, sekali gus memberi impak kewangan kepada pemilik rumah, terutama di luar bandar.
“Kos pembinaan akan meningkat kerana keperluan pematuhan kepada spesifikasi teknikal yang lebih ketat untuk mengelakkan pencemaran.
“Kos pemilikan rumah baharu juga bakal bertambah kerana tangki septik perlu memenuhi syarat baharu ini,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa peraturan penyelenggaraan yang lebih ketat akan memaksa pemilik menyelenggara tangki septik dengan lebih kerap, menyebabkan kos bertambah berbanding sistem lama.
Alias berkata, sistem rawatan air moden yang diperlukan untuk memenuhi spesifikasi baharu itu juga mungkin memerlukan pelaburan awal yang tinggi, menambah beban kepada golongan B40.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pindaan itu juga memberi kesan positif jangka panjang, termasuk mengurangkan pencemaran air, mencegah penyakit, dan menjimatkan kos kesihatan awam.
“Adakah kerajaan bercadang menyediakan subsidi atau bantuan kewangan untuk pembinaan dan penyelenggaraan tangki septik, khususnya bagi golongan B40?
“Adakah kerajaan sudah melaksanakan kempen kesedaran mengenai manfaat jangka panjang sistem septik baharu ini?” soalnya.
Beliau juga menyeru kerajaan memperkenalkan insentif teknologi hijau yang mesra poket pengguna bagi mengurangkan beban rakyat dan memastikan pindaan itu dilaksanakan secara berkesan. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











