Perlis negeri pertama capai sifar miskin tegar

- Advertisement -

KANGAR: Perlis muncul negeri pertama di Malaysia yang berjaya menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini, beritahu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Badariah Wan Saad

- Advertisement -

Menurutnya, sejak September 2024, negeri tersebut telah mencatatkan sifar miskin tegar selama empat bulan berturut-turut.

“Ini merupakan hasil usaha gigih pelbagai pihak dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar, sejajar dengan agenda negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“(Iaitu) untuk menangani kemiskinan tegar menjelang 2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Beliau turut mendedahkan, setakat semalam sebanyak 14,176 Ketua Isi Rumah (KIR) didaftarkan di bawah kategori miskin.

Walau bagaimanapun ujarnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjadi faktor utama kepada pencapaian ini.

“Apa yang dibimbangi ialah sekiranya bantuan ini dihentikan, kemiskinan tegar mungkin akan meningkat semula,” jelasnya.

Sehubungan itu, Wan Badariah menyeru usaha lebih komprehensif dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu melalui program seperti SejaTi MADANI untuk mengurangkan pergantungan kepada bantuan semata-mata. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -