
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar mana-mana pihak yang boleh membuktikan ada sistem lebih baik daripada Islam.
Menurut beliau, ketika ini dunia dikuasai sistem kapitalis selepas tumbangnya sistem sosialis dan komunis.
“Hari ni ternyata sistem kapitalis, gagal memberi keadilan kepada rakyat dan beri ruang yang banyak kepada golongan kaya untuk bertambah kaya. Golongan yang kurang kemampuan tidak diberi peluang walaupun konsep peluang terbuka.
“Tapi persaingan dalam keadaan itu tidak mungkin berlaku. Demikian juga dalam sistem undang-undang. Kalau ada undang-undang lebih baik daripada Islam boleh mencegah jenayah sila kemukakan,” katanya.
Beliau berucap dalam program penerangan Selamatkan Malaysia di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini malam tadi.
Ustaz Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, turut membangkitkan masalah kadar jenayah meningkat, selain bilangan penjara jugaturut bertambah.
“Ya, jenayah makin meningkat, lebih ‘statisticated’. Satu masa dahulu kita tak pernah fikir duit kita dalam akaun kita orang boleh curi. Hari ini berlaku dan kita lihat Islam mengemukakan undang-undang peraturan. Kalau ada peraturan lebih baik, kemukakan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau sempat memberi contoh orang bukan-Islam yang dikenali sebagai Cat Steven, namun kini bergelar muslim dengan nama Yusuf Islam.
“Kata Yusuf Islam, selepas masuk Islam, dia menyebut satu ulasan. Dia kata saya berada dalam agama Islam memeluk Islam dan saya dapati Islam dipenuhi mutiara yang sangat berharga.
“Sistem ekonomi, sistem politik; sistem sosial; sistem undang-undang; hubungan antara kaum; hubungan luar negara;dasar-dasar dan polisi yang bukan hanya untuk manusia termasuk alam.
“Sayangnya, orang Islam berada tengah-tengah mutiara yang dia tak tahu dan mengambil sistem lain yang gagal di Barat dan Eropah,” katanya sambil mempersoal kenapa rakyat Malaysia susah mahu beri peluang kepada Islam untuk tadbir negara. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











