
KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) menegaskan bahawa peranan ombudsman perlu dioptimumkan dan diletakkan pada struktur yang betul untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
Beliau menyuarakan keperluan untuk memastikan ombudsman berfungsi dengan kebertanggungjawaban yang tinggi.
“Jadi soalan saya ialah sejauh mana cadangan ombudsman ini untuk diletakkan di bawah satu institusi yang bebas contohnya seperti parlimen dan tidak diletakkan di bawah mana-mana struktur eksekutif bagi kebertanggungjawaban yang tinggi terhadap peranan ombudsman berkenaan. Jadi minta respons dari kementerian,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V.Murugeson dalam jawapannya berkata, cadangan mengenai kebebasan institusi adalah baik.
Menurutnya, Biro Pengaduan Awam kini hanya berfungsi sebagai posmen dan kurang berkesan.
Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji dan mengadakan libat urus untuk memastikan ia diletakkan di bawah badan bebas dengan kuasa siasatan yang efektif. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











