
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran meningkatkan perkhidmatan dan prasarana di hospital awam bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan bukannya melaksana Skim Insurans Kesihatan Nasional.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, cadangan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli bagi melaksanakan Skim Insurans Kesihatan Nasional dilihat hanya akan terus membebankan rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“YB Senator cadang supaya kerajaan laksanakan insurans, saya kata tak perlu insurans lagi. Perkemaskan dulu hospital-hospital awam untuk golongan B40 penjawat awam.
“Nak bayar insurans, orang kampung ada duitkah nak bayar? Kalau nak buat ‘operation’ perlu tunggu sampai enam bulan. Bagi jadi dua bulan. Kalau tak cukup pakar, kita latih keluarkan doktor-doktor pakar supaya kita memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Itu baru kerajaan yang membela rakyat. Ini kadang-kadang mati dulu. Kes nak belah, operate jantung sebab tunggu giliran lima hingga enam bulan,” katanya dalam ucapan pada majlis Selamatkan Malaysia di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).
Menurut Awang, kerajaan sepatutnya membuat kajian empirikal dan memperbaiki memperkemas prasarana hospital awam bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita sediakan yang itu dulu. Kalau daripada enam bulan kita buat turun paling lama pun kata boleh dua bulan, okeylah. At least something kita boleh terima ataupun lebih cepat lagi sebulan sahaja boleh buat operation, tak perlu tunggu sampai enam bulan dan kadang-kadang setahun.
“Jadi apa rakyat yang bayar cukai ini nak tahu bagaimana perancangan kerajaan untuk membela rakyat. Sepatutnya tak perlu lagi bayar insurans. Orang kampung tak ada duit nak bayar insurans. Sampai sebulan seratus ringgit lebih tak dak, tak mampu,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











