
KUALA LUMPUR: Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, ketiadaan kadar minimum denda bagi kesalahan sambungan bekalan air akan menimbulkan tafsiran berbeza dalam pelaksanaan.
Ini kerana kadar maksimum denda bagi kesalahan itu adalah RM1 juta berbanding RM100,000 sebelum pindaan manakala hukuman penjara dilanjutkan sehingga maksimum 10 tahun.
“Mengapa tidak ditetapkan kadar minimum seperti pindaan pada Seksyen 121. Selain itu, adakah kerajaan mempunyai mekanisme untuk mengesan kecurian air di suatu kawasan?
“Seterusnya, berapakah jumlah sambungan haram yang dikesan bagi tempoh dua tahun terkini dan kerugian disebabkan kecurian bekalan air daripada sambungan haram tersebut setiap tahun?” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Wan Razali turut menekankan kerajaan agar membuat pendekatan berbeza dalam menetapkan kadar denda bagi sektor industri dan domestik.
“Bagaimanakah menentukan kadar denda bagi kesalahan Seksyen 123 ini untuk kes berkaitan penggunaan bekalan air sektor industri berbanding bekalan domestik yang sudah pasti penggunaan yang berbeza. Oleh itu, kadar denda sepatutnya berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











