Boleh cetus persepsi negatif, spekulasi – Pemerhati Rasuah

Mahkamah benar pendakwa raya tarik balik rayuan tuduhan rasuah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan pendakwa raya menarik balik rayuan kes Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas 40 pertuduhan menerima rasuah Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung sistem visa luar negara (VLN) disifatkan membimbangkan.

- Advertisement -

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, walaupun keputusan ini adalah budi bicara Peguam Negara (AG) yang didasarkan kepada bukti dan fakta, ia tetap menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat terhadap integriti dan ketelusan sistem keadilan negara. 

“Keputusan mahkamah untuk membatalkan rayuan ini adalah berdasarkan penarikan balik oleh pendakwa raya, namun rakyat sering melihat sistem perundangan sebagai satu entiti yang bersepadu.

“Ketidaktelusan dalam tindakan pendakwaan, terutama dalam kes berprofil tinggi, boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap kebebasan institusi kehakiman dan merosakkan kepercayaan awam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jais, MCW menekankan penjelasan yang jelas iaitu keputusan untuk tidak meneruskan rayuan memerlukan alasan lebih telus dan menyeluruh bagi mengelakkan spekulasi serta memastikan rakyat memahami asas keputusan tersebut. 

“Walaupun keputusan ini adalah bidang kuasa pendakwa raya, tanggungjawab bersama institusi perundangan dan kehakiman adalah memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan terus terpelihara. 

“Fakta bahawa mahkamah sebelum ini memutuskan bahawa kes ini mempunyai asas ‘prima facie’ menunjukkan terdapat bukti kukuh yang memerlukan perbicaraan mendalam. Keputusan untuk menarik balik rayuan perlu dijelaskan dengan terperinci kerana ia membabitkan persoalan besar berkaitan integriti dan keadilan,” katanya.

Katanya lagi, MCW berpandangan bahawa sebarang keputusan membabitkan kepentingan awam mesti dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan.

“Kami menyeru pihak Peguam Negara untuk memberikan penjelasan yang lebih komprehensif mengenai alasan penarikan balik rayuan ini, demi memulihkan dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. 

“Sistem keadilan yang kukuh dan telus adalah asas kepada negara yang bebas rasuah. MCW akan terus memperjuangkan prinsip keadilan, ketelusan, dan akauntabiliti dalam semua lapisan sistem pemerintahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -