
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan untuk segera memperkenalkan sistem pemantauan berasaskan teknologi seperti sensor pintar bagi mengesan pelepasan bahan berbahaya secara masa nyata.
Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) mencadangkan pemasangan sensor pintar itu di kawasan berisiko pencemaran seperti sungai dan tapak rawatan air.
“Sensor patut dipasang di kawasan sungai yang berisiko berlaku pencemaran dan kawasan rawatan air seperti yang dilakukan di Jepun dan Belanda yang memasang sensor pintar di saluran air utama termasuk sungai dan kawasan perlindungan air,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurutnya, RUU memperkenalkan perubahan pada Seksyen 61 dan Seksyen 122 yang melarang pelepasan bahan berbahaya ke dalam sistem pembentungan itu juga perlu disertai dengan peningkatan penalti terhadap pihak yang melakukan pencemaran.
“Walau bagaimanapun, peningkatan penalti tanpa penguatkuasaan yang efisien dan tegas terhadap pencemaran sedia ada mungkin menjejaskan keberkesanan pindaan ini.
“Di samping ketiadaan mekanisme pemantauan masa nyata terhadap pelepasan bahan terlarang oleh industri memburukkan lagi risiko pencemaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











