628 pesawah terima peruntukan bendang tenggelam

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 628 pesawah terjejas akibat banjir pada September dan Oktober lalu akan menerima peruntukan berjumlah RM202,868 daripada kerajaan negeri sebagai bantuan bagi kawasan tanaman mereka yang tenggelam.

- Advertisement -

Bantuan tersebut diagihkan mengikut keluasan sawah terlibat dan akan mula disalurkan pada 20 Disember ini, maklum Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad.

Menurutnya pesawah yang terkesan dalam kejadian banjir baru-baru ini diminta membuat laporan segera kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) selewat-lewatnya 20 Disember ini, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pesawah juga digalakkan mendaftar dengan Agro Bank untuk mendapatkan perlindungan takaful tanaman padi bagi menghadapi risiko bencana di masa hadapan,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Perlis 2025 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) telah menjalankan bancian bagi menilai kerosakan yang dialami pesawah akibat banjir tersebut.

Razali turut menekankan keperluan penambahbaikan sistem saliran dan pengairan yang dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir di beberapa kawasan.

“Kerajaan negeri komited bekerjasama dengan kementerian untuk merancang dan membangunkan sistem saliran yang lebih baik demi kesejahteraan pesawah di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya lagi, kerajaan negeri sedang merancang pembinaan kilang pengeluaran benih padi sendiri bagi memenuhi keperluan pesawah di Perlis.

“Kilang ini penting untuk menjamin penghasilan benih padi berkualiti yang amat diperlukan petani di sini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -