
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Islam tidak pernah menindas agama lain dan perpaduan antara Islam dan bukan-Islam dapat dilihat dengan jelas di negeri Kelantan.
Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang menggambarkan ‘gelombang hijau’ sebagai ancaman terhadap kebebasan beragama di Malaysia.
“Pergilah ke Kelantan. Apa yang ada di sana? Patung besar agama lain masih berdiri megah. Itu Kelantan bukan di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada ceramah Selamatkan Malaysia di Dataran KUIZM, di sini malam tadi.
Menurut beliau, Kelantan menjadi contoh perpaduan terbaik antara orang Islam dan bukan-Islam di Malaysia dengan krisis perkauman tidak pernah berlaku sebelum ini sebagaimana yang terjadi di negeri-negeri lain.
Katanya, Islam menjamin hak dan kebebasan golongan minoriti di bawah pentadbiran yang adil dan saksama.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan propaganda media yang sering menggambarkan PAS secara negatif.
“Media akan terus memburukkan PAS, termasuk musuh politik kita, tetapi mereka tidak akan menceritakan tentang keadilan yang diamalkan di Kelantan.
“Saya sarankan kepada bukan Islam, pergilah ke Kelantan dan lihat sendiri keadaan sebenar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Beliau menambah, pengalaman PAS mentadbir negeri-negeri dengan aman membuktikan bahawa Islam mampu menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama tanpa sebarang konflik.
Beliau menyeru semua pihak supaya membina negara dengan keyakinan dan menolak akta serta dasar yang tidak adil.
Beliau menegaskan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah bukti kepercayaan terhadap kestabilan dan keadilan yang ditawarkan oleh PN. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











