Sumbangan tilam dan pek makanan untuk mangsa banjir

- Advertisement -

POKOK SENA: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Kedah menerima 500 set pek makanan dan 180 tilam yang disumbangkan oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa.

- Advertisement -

Ketua Operasi Khidmat Malaysia Kedah, Mohd Saifuddin Hassan berkata, penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh wakil Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa, Aida Lim Abdullah.

Ia telah diterima Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya di Bilik Operasi Khidmat Malaysia di Markas PAS PAS Kawasan Pokok Sena, di sini semalam.

“Semua barangan sumbangan itu akan diagihkan kepada beberapa kawasan iaitu Pokok Sena, Kubang Pasu, Kuala Kedah, Alor Setar, Sik, Jerlun dan Padang Terap.

“(Sumbangan ini) untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, di sini hari ini.

Masing-masing katanya, akan menerima 30 set tilam dan 50 hingga 100 set pek makanan, berdasarkan keperluan dan situasi keadaan banjir terkini.

Turut hadir pada majlis itu, antaranya Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Mohd Suffian Yusoff yang juga ADUN Bandar Baharu dan Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid selaku juga Ahli Parlimen Padang Terap.

Termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN Alor Mengkudu, Muhammad Radhi Mat Din dan ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak.

Terdahulu, semua yang hadir diberi taklimat berkenaan perkembangan banjir di Kedah, sebelum ke Anak Bukit menyampaikan sumbangan kepada 100 orang mangsa banjir di situ. – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -