
KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh), menggesa kerajaan mempertimbangkan elaun khas kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa warga emas.
Beliau turut bertanya mengenai cabaran pelaksanaan dasar penjagaan Malaysia dan langkah-langkah untuk memastikan objektif dasar itu tercapai.
“Adakah kerajaan telah mengkaji keperluan untuk mempertimbangkan elaun khas kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka dari kalangan warga emas?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Salamiah juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas perancangan dasar itu sambil menekankan kepentingan persediaan rapi bagi mengatasi halangan dalam pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam jawapannya berkata, elaun khas untuk penjaga warga emas masih dalam perbincangan antara pihak berkepentingan dan kementerian, dengan cabaran utama mendapatkan persetujuan semua pihak.
Menurutnya, libat urus telah dijalankan sebanyak tiga kali melibatkan pelbagai pihak termasuk operator industri penjagaan, dan hasilnya sedang melalui proses kelulusan pengurusan sebelum dibawa ke kabinet.
Beliau menjelaskan, lima strategi utama turut dirangka, termasuk pengukuhan perundangan yang sudah lama tidak dikaji semula serta promosi penjagaan di pelbagai peringkat. – HARAKAHDAILY 9/12/2024











