Lebih ramai mangsa banjir akan diberikan bantuan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan Bantuan Sejahtera kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dengan banjir kali ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun kata beliau, mekanismanya perlu dibangunkan semula untuk menghindari perkara yang tidak sewajarnya, seperti pemberian sebelum ini.

Sebelum ini ujarnya, terdapat pihak yang mengambil kesempatan apabila diumumkan pemberian RM1,000 kepada setiap KIR yang terlibat dengan banjir dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Ada yang bahagi-bahagikan ahli keluarganya ke PPS berasingan. Isteri dok PPS sana, suami PPS sini. Pegawai Daerah maklum kepada saya perkara itu.

“Saya tak tahu, halal ke tidak (ambil wang cara itu). Sebab saya umum bagi kepada ketua isi rumah, RM1,000. Kalau kes begitu (duduk berasingan), satu keluarga boleh dapat tiga hingga empat ribu (ringgit).

“Dalam dok bagi pun ambil kesempatan lagi, ‘kecoh’ (tipu) kerajaan. Tak bagus amalan itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Berikutan itu kata Sanusi, pemberian kali ini akan dibuat dengan lebih teliti, untuk mengelak berlaku insiden seperti itu lagi.

Sumbangan kali ini ujar beliau, juga akan melibatkan mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS atas faktor tertentu seperti PPS penuh atau sebagainya.

Termasuk juga kata ADUN Jeneri itu, kalangan mereka yang berpindah ke tempat tidak diwartakan sebagai PPS seperti masjid dan lain-lain.

Seperkara lagi tegasnya, Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan Bantuan Sejahtera kepada penduduk yang dipindahkan kerana terputus laluan disebabkan kawasan sekelilingnya dinaiki air.

“Penduduk di kawasan itu, rumah mereka tidak dinaiki air, tetapi dipindahkan atas faktor keselamatan, mereka ini juga dikira mangsa banjir,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut ujarnya, banjir kali ini menyebabkan banyak tempat yang terputus laluan berbanding banjir sebelum ini hanya melibatkan dua tiga tempat sahaja.

Insiden seperti itu tambah beliau, telah menyebabkan PPS di Nami terpaksa dipindahkan ke tempat lain kerana bekalan makanan serta keperluan tidak dapat dihantar.

Sungguhpun begitu tegasnya, sumbangan sejahtera kepada mangsa yang tidak berpindah ke PPS, perlulah mempunyai laporan polis serta pengesahan dari Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) dan Penghulu

Namun dalam pada itu tegas beliau, jumlah pemberian tidak dapat diumumkan lagi kerana pihaknya akan menunggu angka rasmi jumlah keluarga yang berpindah ke PPS oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Setakat saya terima hari ini, jumlah keseluruhan mangsa banjir adalah 11,046 orang melibatkan 3,574 keluarga, yang pindah ke PPS. Tetapi kita nak ambil kira juga keluarga yang tidak berpindah ke PPS. Mungkin ramai lagi.

“Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri agak terhad. Jadi kita akan lihat jumlah KIR dahulu baharulah tentukan berapa satu keluarga boleh terima sumbangan itu

“Umum sekarang, tambah lagi jumlah keluarga, takut kita tak mampu pula,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -