‘Gonyoh Gaha’ DUN Gaal disertai 100 sukarelawan

- Advertisement -

PASIR PUTIH: Ekoran banjir semakin baik di negeri Kelantan termasuk Daerah Pasir Putih, orang ramai yang terlibat dengan banjir mengambil kesempatan membersih kediaman masing-masing.

- Advertisement -

Pusat Khidmat DUN Gaal telah menganjurkan program gotong-royong bersih kawasan banjir ‘Gonyoh Gaha’ sehingga ia mendapat penyertaan seramai 100 orang, semalam.

Program gotong-royong yang diadakan bermula pagi ini diketuai ADUNnya, Mohd Rodzi Jaafar di Mukim Gong Chapa.

Beberapa agensi kerajaan, NGO turut membantu bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir setelah emosi mereka diuji seketika akibat banjir.

Rodzi berkata, program ini dianjurkan bertujuan untuk membantu mangsa banjir di tiga kampung dalam Mukim Gong Chapa, iaitu Kampung Tembila, Kampung Batu Hitam dan Kampung Gong Chapa untuk membersihkan kawasan kediaman dan sekitarnya.

Katanya, beliau bersyukur kerana program ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat termasuk agensi Kerajaan Negeri dan NGO termasuk Skuad Sukarelawan Banjir DUN Gaal dan peserta Ladang Rakyat.

“Aktiviti gotong-royong ini melibatkan pembersihan rumah, masjid, serta kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir.

“Kehadiran sukarelawan dari pelbagai latar belakang turut mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan terhadap mangsa bencana di kawasan ini,” katanya lagi.

Beliau berharap program ini menjadi titik tolak kepada pemulihan komuniti Gong Chapa dan kawasan sekitar.

Tambahnya, masih terdapat banyak kediaman dan lokasi lain yang memerlukan perhatian, dengan kerja pembersihan dijangka berterusan sepanjang minggu ini.

“Semoga usaha murni ini diteruskan demi kesejahteraan masyarakat setempat. Ayuh bersama kita ringankan beban mereka yang terkesan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -