Jambatan kekal Burung Unta: ‘Order lain, dapat lain’

- Advertisement -

PEKAN: ADUN Pulau Manis, Rafiq Khan Ahmad Khan menyifatkan jawapan balas Pengerusi Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim mengenai status kemajuan Jambatan Bailey Jalan Burung Unta sebagai ‘Order lain, dapat lain’.

- Advertisement -

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Razali atas penjelasan dan reaksi balas terhadap kenyataan yang dilontarkannya baru-baru ini.

Namun, beliau mempertikaikan tindakan kerajaan yang hanya melakukan penyelenggaraan kecil terhadap jambatan berkenaan, sedangkan isu itu sering menjadi keluhan besar bagi pengguna jalan raya. 

“Saya melontarkan persoalan ini kerana tiada apa-apa penjelasan oleh Yang Berhormat Pengerusi, mahupun Menteri Kerja Raya mengenai status naik taraf Jambatan Bailey ke jambatan kekal di laluan Jalan Burung Unta.

“Saya kira Yang Berhormat Pengerusi sepatutnya sedia maklum saban tahun jika berlaku musim tengkujuh akan berlaku sesuatu yang tidak diingini di Jalan Burung Unta ini terutama kejadian mendapan.

“Adakah Yang Berhormat Pengerusi dan Menteri Besar Pahang tidak sedar akan keperluan jambatan kekal di laluan Jalan Burung Unta ini?” soalnya dalam satu kenyataan, semalam.

Rafiq mendesak agar Kerajaan Negeri segera menyediakan peruntukan khusus untuk pembinaan jambatan kekal tersebut bagi mengelakkan kejadian buruk yang boleh membahayakan pengguna jalan. 

“Ingatlah suara rakyat, suara keramat janganlah YB Pengerusi dan Menteri Besar Pahang terlalu berbangga dengan hasil berbilion tetapi pemasalahan utama rakyat tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau yang juga menegaskan akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -