
KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengingatkan kepentingan menunaikan zakat pendapatan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menekankan bahawa selain kewajipan membayar cukai, umat Islam turut mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk melunaskan zakat.
“Alang-alang dah masuk Disember bahas tentang cukai yang wajib dibayar, zakat pula terlebih wajib untuk kita bayar. Jadi di akhir tahun ini, saya nak ingatkanlah rakan-rakan dalam dewan dan juga di luar dewan untuk kita tunaikan zakat pendapatan bagi 2024 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Perikatan Nasional (PN) Ekonomi berkata, turut menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan kemudahan kalkulator zakat yang disediakan oleh Majlis Agama dan Lembaga Zakat di laman sesawang rasmi tersebut.
“Masuk bulan 12 ini, boleh semak di laman sesawang itu, saya pun dah selesaikan pada minggu lepas. Masuk pendapatan kita, tolak bayaran wajib 2.5 peratus sahaja, insya-Allah ada keberkatannya,” katanya.
Justeru, ujarnya peringatan itu diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab berzakat sebagai salah satu cara menyucikan harta dan membantu golongan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











