Cadang moratorium 6 bulan peminjam terjejas banjir besar

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk memberikan moratorium enam bulan kepada peminjam yang terjejas akibat banjir besar yang melanda negara ketika ini.

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, kerajaan perlu segera mengadakan rundingan dengan pihak bank untuk melaksanakan inisiatif tersebut. 

“Saya harap supaya kerajaan dapatlah apalah kiranya menekan ataupun berbincang dengan kerajaan berkenaan dengan bank-bank yang ada dan isi kewangan supaya meletakkan ataupun memberikan moratorium paling tidak enam bulan kepada peminjam-peminjam yang terjejas akibat daripada banjir yang sedang melanda pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Kewangan 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya, semasa pandemik Covid-19 pada April 2020, moratorium menyeluruh selama enam bulan berjaya membantu lebih lapan juta peminjam termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“Pada masa itu 2021, bank-bank untung RM20 bilion, ertinya moratorium tidak melemahkan industri perbankan kita. Semasa banjir besar, Disember 2021, yang menjejaskan Lembah Klang dan kawasan lain, Bank Maybank, CIMB, Public Bank, RHB menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat, Agrobank dan Affin Bank yang telah bertindak proaktif mengumumkan moratorium kepada mangsa banjir dalam masa beberapa hari ini.

Namun, Fadhli berharap Kementerian Kewangan membuat penyelarasan agar semua bank menawarkan moratorium yang sama. 

Tambah beliau, ansuran pinjaman perumahan yang ditangguhkan dapat memberikan ruang kewangan tambahan kepada mangsa untuk menampung keperluan lain. 

“Banjir di Pasir Mas pada hari ini lebih daripada kadar tahun 2014, dua kali ganda. Banjir yang datang daripada Thailand, Yala, Narathiwat, Patani terjun ke kawasan saya Rantau Panjang dan Tumpat menenggelamkan 40 peratus daripada kawasan parlimen kami.

“Kalau Rantau Panjang 70 peratus daripada kawasannya  tenggelam banjir. Ada yang total loss apalah kiranya kalaulah sekiranya berita baik ini dapat dikongsi kepada kami yang berada di negeri Kelantan khususnya di utara Kelantan iaitu yang berdepan dengan selatan Thailand ini supaya moratorium pinjaman bank Paling tidak ansuran untuk kereta RM900, ansuran untuk rumah kalau ada RM1,500 sudah dapat RM2,500 dalam poket untuk sebagai pengubat jiwa masyarakat dan kampung-kampung yang ada di Pasir Mas, Kampung Seno, Kampung Meranti, Kampung Lanchang, Kampung Gelang Mas, Kampung Kalor, Kampung Kolam, Kampung Alum Mengkuang dan lain-lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024

- Advertisement -