
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) membangkitkan isu pembayaran royalti petroleum dan mempertikaikan pembayaran wang ehsan oleh kerajaan Persekutuan kepada Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata, perjanjian asal di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 jelas menyebut mengenai pembayaran royalti.
“Kita tidak tahu di manakah seksyen yang dirujuk oleh pihak kerajaan dan di manakah perjanjian yang menandatangani tentang pemberian wang ehsan ini sedangkan yang disebut dalam perjanjian asal ialah royalti.
“Kita difahamkan bahawa Kelantan dan Terengganu mewakili 40 peratus daripada pendapatan kerajaan berkenaan dengan petroleum. Adakah perkara ini benar?
“Adakah kita juga melihat kepada Norway sebagai negara pengutama yang telah menubuhkan dana kekayaan negara (SWF) yang menguruskan hasilnya secara telus bagi memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada hasil bumi negara.
“Mengapa negara kita tidak boleh mencontohi model ini dan memastikan pembayaran royalti terus kepada kerajaan Negeri,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mumtaz turut menyentuh perjuangan Sarawak yang telah mula memperoleh hasil daripada royalti petroleum mereka.
“Adakah semua kerajaan Negeri mesti melalui dan menerima nasib serta proses yang sama seperti Sarawak dan Sabah, jikalau negeri mereka ini dapat atau mempunyai hasil petroleum.
“Jadi saya menyeru supaya hasil wang ehsan ini dihapuskan dan terus kembali kepada royalti,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











