
KUALA LUMPUR: Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap isu ‘lesen ali baba’ yang melibatkan penyewaan lesen perniagaan kepada warga asing, serta keterlibatan mereka dalam perkhidmatan e-hailing di negara ini.
Beliau menyatakan bahawa warga asing kini semakin berani mencabar undang-undang dengan melibatkan diri dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu e-hailing, selain aktiviti perniagaan tidak berlesen.
“Saya mengucapkan syabas kepada kerajaan atas pindaan ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Namun, menurutnya, beberapa persoalan dan cadangan perlu diteliti oleh kementerian, terutamanya berkaitan hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam skim itu.
Khairil Nizam mencadangkan agar hukuman berat dikenakan bukan hanya kepada warga asing yang melanggar undang-undang, tetapi juga kepada pihak yang menyewakan kenderaan kepada mereka bagi tujuan perkhidmatan e-hailing.
“Kerajaan haruslah menaikkan kesedaran rakyat berkenaan dengan salahnya perkhidmatan E-Hailing yang diberikan oleh warga asing walaupun ditawarkan dengan harga yang murah,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan aduan rakyat dalam menangani isu itu dan mencadangkan agar kementerian memperkenalkan talian hotline khusus untuk memudahkan aduan disalurkan.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional menyatakan sokongan kepada pindaan yang diperkenalkan. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











