Takiyuddin Hassan contoh kepimpinan berwibawa

- Advertisement -

SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah contoh kepimpinan berwibawa yang berjaya membawa pelbagai perubahan positif ketika memegang jawatan dalam kabinet, sekali gus membuktikan kemampuan PAS mentadbir negara dengan cemerlang.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, sepanjang tempoh lebih setahun memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Takiyuddin berjaya melaksanakan tujuh inisiatif utama, termasuk empat pindaan Rang Undang-undang (RUU).

“Antaranya empat pindaan RUU iaitu RUU Insolvensi, RUU Mahkamah Kehakiman dan RUU Mahkamah Rendah dan RUU Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu menurutnya, Takiyuddin turut bertanggungjawab menubuhkan Pusat Mediasi COVID-19 dan memperkenalkan Ordinan Darurat bagi membendung penularan wabak tersebut, sekali gus membantu ekonomi rakyat yang terjejas.

Zurk berkata, usaha lain dibuat adalah termasuk pelaksanaan Undi-18 secara automatik serta pengiktirafan program Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sudah lama diperjuangkan.

Beliau menerangkan lagi, di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pula, Takiyuddin dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, di mana beliau menyumbang kepada tiga kejayaan dasar utama.

Menurutnya, itu termasuk pindaan RUU Pemuliharaan Hidupan Liar, pindaan RUU Harta Pusaka Kecil, serta pindaan RUU Perhutanan Negara yang dilakukan buat kali kedua selepas 29 tahun (1993).

“Beliau telah menstruktur satu sistem ekonomi dengan penawaran kuota solar baharu dan menyediakan akses kepada Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk membantu syarikat-syarikat memenuhi komitmen Environmental, Social & Governance (ESG),” kata Zurk.

Zurk berkata, Takiyuddin yang berasal dari Kelantan, mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang.

Tambahnya, Takiyuddin menamatkan pengajian menengah di Maktab Mahmud Alor Setar dan Kolej Islam Klang (KISAS) sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang undang-undang.

Semasa di universiti jelasnya, Takiyuddin dipilih sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya pada 1983 dan 1984.

Menurutnya, kerjaya Takiyuddin bermula sebagai majistret di Pasir Mas sebelum membuka firma guaman sendiri di Kota Bharu.

Beliau menerangkan bahawa, penglibatan dalam politik Takiyuddin bermula sejak 1989, termasuk memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan (1999), Ketua Penerangan PAS Kelantan (2003-2004), dan Setiausaha Agung PAS sejak 2015.

“Ini adalah antara pimpinan ‘cream of the cream’ yang dilahirkan PAS. Beliau berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam bidang guaman di dalam parti dan luar parti serta sumbangan yang besar dalam mengurus struktur dan organisasi PAS.

“Bakat kepimpinan ini sekali gus membuktikan kebolehan PAS mentadbir negara dengan kejayaan dan sumbangan beliau memikul tanggungjawab sebagai menteri di dua kementerian berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2024

- Advertisement -
- Advertisement -