
KUALA LUMPUR: Isu kompleks seperti pengaruh dunia siber terhadap emosi dan minda kanak-kanak, tekanan ibu bapa, cabaran kewangan, serta gangguan mental dalam kalangan pelajar memerlukan pendekatan menyeluruh oleh kerajaan.
Dr. Halimah Ali (PN-Kapar), bertanyakan mengenai langkah holistik yang diambil oleh Kementerian Pendidikan melibat pelbagai kementerian dan agensi, berpaksikan pendekatan whole of government dan whole of society.
“Kita melihat kepentingan daya saing, daya maju, dan daya tahan yang ditekankan dalam sistem pendidikan sekolah. Namun, tekanan yang melampau boleh membawa kepada masalah serius seperti kes bunuh diri, buli, dan gejala sosial lain.
“Adakah kementerian bersedia untuk mengkaji pendekatan pembangunan modal insan secara holistik, menggunakan kerangka S.P.I.E.S (spiritual, fizikal, intelek, emosi, dan sosial)?
“Pendekatan ini menitikberatkan keseimbangan antara kecerdasan intelektual seperti membaca, menulis, mengira, dan menghafal, dengan pembangunan emosi, fizikal, sosial, serta spiritual pelajar, terutama ketika tahap kecerdasan sosial kian menurun.
“Selain itu, perkembangan pesat teknologi dan penggunaan gajet juga semakin merenggangkan hubungan kemanusiaan pelajar daripada dunia sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sesi Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Fadhlina, falsafah pendidikan negara telah mengangkat semua elemen tersebut.
“Dalam menangani isu gejala sosial, kementerian turut bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta rakan-rakan strategik yang lain.
“Selain itu, kerjasama erat juga dijalin dengan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan pembangunan menyeluruh anak-anak dapat dilaksanakan secara bersama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024











