
KOTA BHARU: Sehingga sekarang jumlah tunggakan premium yang belum dijelaskan agensi pembangunan tanah di bawah kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri sebanyak RM23.4 juta.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, jumlah tunggakan tersebut meliputi Felcra Bhd sebanyak RM14.7 juta, Felda (RM1.5 juta) dan Kesedar (RM7.1 juta).
“Pembangunan tanah tersebut ada antaranya tertakluk di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA),” katanya menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darulnaim hari ini.
Sebelum sesi soalan jawab bermula acara mengangkat sumpah Adun baharu mewakili DUN Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diadakan di hadapan Speaker DUN Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Menjawab soalan tambahan Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil (PAS-Kuala Balah), Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri mengeluar notis 5A dan rundingan dengan agensi terlibat.
Kata beliau ada rundingan yang dibuat dari semasa ke semasa dengan agensi terlibat.
“Kerajaan negeri mahu mengekalkan hubungan baik dengan agensi terbabit dengan mengekalkan kaedah sebagai orang mukmin yang disebut senang kira mudah ‘baso.
“Apa pun kita selesaikan bagi mendapat jumlah tunggakan tersebut melalui kaedah rundingan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024











