
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 53 kes perkahwinan bawah umur melibatkan remaja perempuan direkodkan di Terengganu bagi tempoh 2022 hingga 2024, dengan daerah Kemaman mencatatkan kes tertinggi iaitu 15 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, daerah Besut merekodkan 13 kes, diikuti Dungun (7), Kuala Terengganu (5), Setiu (5), Hulu Terengganu (3), Marang (3) dan Kuala Nerus (2).
Menurut beliau, antara faktor utama berlakunya perkahwinan ini ialah usaha ibu bapa untuk menangani masalah sosial dalam kalangan anak-anak, seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan isu moral lain.
“Oleh itu, ibu bapa berpendapat bahawa perkahwinan ialah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini sekali gus dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan anak-anak mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Yusop Majid (BERSATU-Permaisuri) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.
Selain itu, kekurangan pendidikan serta perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) turut dikenal pasti sebagai punca utama perkahwinan bawah umur di negeri ini. – HARAKAHDAILY 21/11/2024











