ADUN Guar Sanji prihatin mangsa kebakaran

- Advertisement -

ARAU: ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim menunjukkan keprihatinannya dengan melawat keluarga Omar Abdullah yang terjejas akibat kebakaran rumah di Kampung Belukar, di sini semalam.

- Advertisement -

Kebakaran yang berlaku pada jam 11:50 pagi itu telah memusnahkan 40 peratus rumah Omar.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12:07 tengah hari, dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Namun, kebakaran dipercayai berpunca daripada api yang terlupa dipadam selepas digunakan untuk memasak air.

Omar yang bekerja sebagai pengutip kotak dan barang terpakai, tinggal di rumah tersebut bersama dua beradik istimewa Orang Kurang Upaya (OKU), Sharidan dan Shariman.

Keadaan ini mengundang simpati ramai pihak, termasuk ADUN Guar Sanji.

Mohd Ridzuan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 11:30 pagi tadi, membawa bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan untuk keluarga mangsa.

Beliau juga segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi memastikan tindakan susulan diambil.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Belukar, Asraf Abdullah.

Juga Pengerusi Perpaduan Ummah Guar Sanji, Melesia Che Mat yang turut memberikan sokongan moral kepada keluarga Omar. – HARAKAHDAILY 21/11/2024

- Advertisement -