
KUALA TERENGGANU: Belanjawan 2025 Negeri Terengganu bertemakan “Demi Masa Depan Terengganu” memperuntukkan sejumlah RM1.887 bilion untuk perbelanjaan mengurus.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.
“Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan RM1.792 bilion untuk perbelanjaan bekalan iaitu RM278.19 juta untuk emolumen.
“RM361.49 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM23.93 juta untuk aset, RM1.127 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1 juta untuk perbelanjaan lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025, di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM385.79 juta untuk Sektor Sosial, RM44.28 juta untuk Sektor Pentadbiran dan RM19.93 juta untuk Sektor Ekonomi di bawah Perbelanjaan Pembangunan.
Sementara itu, beliau berkata, bagi hasil negeri, RM74.10 juta dijangka diperoleh daripada Hasil Cukai, manakala RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil.
“Jumlah itu termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion,” katanya.
Pembentangan Belanjawan 2025 itu menekankan lima fokus kerajaan negeri iaitu peningkatan kelestarian fiskal dan pembangunan rantaian nilai makanan.
Juga pengukuhan modal sosial, pemerkasaan ekonomi berdaya saing dan pemberdayaan masyarakat usahawan. – HARAKAHDAILY 19/11/2024











