
KUALA TERENGGANU: Sektor pertanian di Terengganu mencatatkan pemulihan memberangsangkan dengan pertumbuhan 7.4 peratus pada tahun 2023, berbanding penguncupan 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan ketara dalam subsektor tanaman seperti buah-buahan dan sayuran serta subsektor perikanan.
“Bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri kita, kerajaan negeri akan membuka kawasan baharu untuk memperluas kawasan bertanam melibatkan tanah terbiar serta membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di setiap daerah.
“Selain itu, program pertanian komuniti akan diperkukuhkan dan infrastruktur di kawasan sawah padi akan dinaik taraf untuk meningkatkan tahap sara diri (SSR) pengeluaran beras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025, di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut Samsuri, pelbagai inisiatif turut diambil untuk menambah populasi ternakan seperti lembu, kambing dan ayam, termasuk transformasi model serta infrastruktur ladang dan menggiatkan permanian beradas.
“Bagi memperkaya sumber perikanan pula, perhatian akan diberikan kepada usaha pembangunan dan penyelenggaraan ekosistem marin, pelepasan benih ikan ke perairan umum dan pengeluaran akuakultur serta penaiktarafan pelabuhan dan kompleks perikanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024











