
KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mempersoalkan sejauh mana kajian menyeluruh telah dilakukan oleh kerajaan terhadap pelaksanaan sistem penyasaran subsidi petrol.
Beliau meminta penjelasan sama ada langkah itu telah melalui kajian mendalam dan diuji dengan betul sebelum diumumkan kepada umum.
Abdul Latiff turut merujuk kenyataan sebelumnya oleh pihak kerajaan yang menyebut mengenai peranan pelbagai kementerian dalam menguruskan sistem subsidi.
Antaranya ulang beliau, termasuk peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Tempoh hari YB Menteri sebutkan, ada Kementerian yang akan jaga di depan (front-end), dan ada Kementerian yang akan jaga di belakang (back-end).
“Itu belum masuk lagi aspek penguatkuasaan di bawah KPDN, dan kad pengenalan di bawah KDN. Maknanya kena jaga depan belakang, atas bawah, kiri dan kanan, Tuan Yang Di-Pertua.
“Adakah perkara ini telah dikaji semasak-masaknya? Atau adakah terdapat model penyasaran subsidi petrol dari mana-mana negara boleh dianggap terbaik.
“Adakah telah diuji terlebih dahulu sebelum diumumkan? Ini kerana sudah terlalu kerap kerajaan hari ini umum dahulu kaji kemudian, apatah lagi proses ini melibatkan begitu banyak agensi dan kementerian termasuklah MOF, KPDN dan juga KDN,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan semasa sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menjelaskan, projek rintis telah dilaksanakan antara tahun 2022 dan 2023, melibatkan penggunaan kad pengenalan (IC) dan eDompet di beberapa stesen minyak terpilih.
Beliau menegaskan tempoh 20 bulan telah digunakan untuk memastikan data yang dikumpul melalui sistem PADU dapat diselaraskan dan diuji dengan baik.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang turut bangun mencelah memetik Peraturan Mesyuarat 36(12) kerana Menteri mengelirukan dewan, minta Menteri senaraikan stesen minyak yang telah melaksanakan projek rintis, dan mohon dimasukkan sekali stesen di Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 12/11/2024











