
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mencadangkan agar semua penyelia di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) memiliki kelayakan diploma dalam pendidikan khas, seiring dengan guru di sekolah rendah yang mengajar pelajar pendidikan khas.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan menyediakan silibus khas bagi pendidikan asas untuk ibu bapa atau penjaga anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU).
“Ini supaya ada keselarasan di antara penyelia di PDK dan guru pendidikan khas di sekolah rendah.
“Adakah kerajaan juga bercadang memperkenalkan PDK khas berdasarkan kluster kecacatan yang dialami oleh peserta?” tanya beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan, penyelia dan petugas PDK bukan pekerja kerajaan, tetapi adalah pekerja yang diambil oleh PDK itu sendiri.
“Oleh itu, kelayakan mereka ditentukan oleh pengurusan PDK, bagaimanapun, kita galakkan petugas yang memiliki kemahiran tinggi, dan kementerian turut menyediakan kursus-kursus untuk mereka,” katanya.
Pada soalan asal, Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta kementerian menyatakan hala tuju dan pelan tindakan untuk program PDK dalam menangani isu seperti kesedaran masyarakat.
Juga diminta kementerian menyatakan kekurangan sumber kewangan dan tenaga kerja, serta peningkatan kelengkapan infrastruktur yang sesuai bagi pendidikan, latihan, dan sokongan lain untuk OKU. – HARAKAHDAILY 12/11/2024











