Perhilitan: Tambah kakitangan, tangani isu berkaitan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dilihat sedang menghadapi cabaran kekurangan kakitangan dalam usaha menangani ancaman hidupan liar.​​ ​

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, hanya tujuh kakitangan di Pejabat Perhilitan Daerah Besut yang perlu bertanggungjawab untuk mengawasi dua daerah iaitu Besut dan Setiu.

“Adakah kerajaan bersedia untuk membuat penambahbaikan dengan mewujudkan satu pejabat perhilitan di daerah Setiu sebagai ‘satu daerah’ kerana sering berlaku serangan hidupan liar?

“Adakah kerajaan bercadang untuk menambah baik operasi menangkap hidupan liar yang kerap terkesan dengan serangan itu kerana di sini belum ada Pejabat Perhilitan Daerah Setiu?

“Di samping, menambah baik peralatan untuk melakukan operasi  kerana peralatan perangkap yang terlalu terhad,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan langkah yang diambil terhadap impak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terhadap biodiversiti di kawasan hutan simpan.

Di mana disifatkannya sehingga menyebabkan berlakunya konflik antara hidupan liar dengan manusia dan langkah bagi membantu penduduk yang terkesan dengan ancaman hidupan liar yang memasuki kampung.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kementeriannya telah memperkenalkan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada 2024.

“Inisiatif itu adalah bantuan dalam bentuk kewangan secara one-off kepada kumpulan sasar termasuk penduduk kampung yang mengalami kerosakan, kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar.

“Sehingga 31 Oktober 2024, seramai 170 pemohon telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan jumlah bantuan sebanyak RM608,000,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

- Advertisement -