
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menuntut pendirian kerajaan persekutuan terhadap pengurusan mineral nadir bumi (REE).
Beliau berkata, mineral terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri mengikut enakmen-enakmen sedia ada dan meminta jaminan agar proses pemprosesan REE dipermudahkan tanpa campur tangan yang tidak sepatutnya dari pihak persekutuan.
“Sejauh mana kerajaan persekutuan boleh memberi jaminan bahawa proses untuk ekstrak dan juga memproses REE ini akan diberikan ataupun dipermudahkan dari segi prosedur dan SOP kepada negeri-negeri ini dan jaminan tidak ada campur tangan daripada kerajaan persekutuan yang tak sepatutnya di peringkat negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Nazmi, isu mineral adalah bidang kuasa negeri dan kerajaan persekutuan tidak akan campur tangan dalam hal tersebut.
“MB-MB pun ada datang bermesyuarat kita telah pun kongsikan SOP cuma sebagaimana kita juga sedia maklum bila urusan eksport dan sebagainya itu termasuklah di bawah ruang likup kerajaan persekutuan.
“Begitu juga dari segi tatacara kita ada Akta Pembangunan Mineral yang digunakan untuk menyelaraskan supaya ia dibuat secara mampan dan dengan teratur. Kita ada akta pembangunan mineral. Jadi sekarang tidak ada masalah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa langkah untuk menahan eksport REE bertujuan menambah nilai dalam negara, seperti yang dicapai oleh industri minyak dan gas.
Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) turut membangkitkan isu mengenai potensi wujudnya ‘single buying house’ untuk REE, yang mungkin menyebabkan kawalan pembelian hanya dilakukan oleh satu entiti.
Nazmi mengesahkan bahawa cadangan tersebut sedang dibincangkan tetapi tiada keputusan muktamad telah diambil. – HARAKAHDAILY 11/11/2024











