
ARAU: Kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan pemikiran kritis adalah elemen penting dalam dunia pekerjaan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian sempena Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP di Dewan Ilmu, UniMAP Pauh, di sini hari ini.
“Kemahiran-kemahiran ini akan membantu anda berinteraksi dengan rakan sekerja, memahami kehendak majikan dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan para siswazah mengenai kepentingan mempraktikkan pengalaman latihan industri sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan yang mencabar.
Menurut baginda, pengalaman ini memberi pendedahan awal terhadap suasana dan tuntutan pekerjaan sebenar.
“Melalui latihan industri, saya percaya anda telah mempelajari amalan terbaik, membina rangkaian profesional dan meningkatkan kefahaman tentang keperluan industri,” tambah baginda.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin menekankan persediaan mental dan emosi sebagai salah satu aspek penting.
Baginda menjelaskan bahawa dunia pekerjaan adalah mencabar dari segi mental dan fizikal, memerlukan ketahanan dan fleksibiliti untuk menyesuaikan diri serta menjaga kesihatan mental.
Seramai 3,298 graduan UniMAP akan menerima ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen itu yang berlangsung bermula 9 hingga 12 November. – HARAKAHDAILY 11/11/2024











