Vincent Tan diingat agar tidak celupar bermain politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan diingatkan supaya tidak celupar bermain politik kepartian, semata-mata hendak mengalihkan perhatian daripada isu membabitkan U-Mobile.

- Advertisement -

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau mengambil maklum kenyataan taikun perniagaan tersebut mengenai pemberian spektrum 5G kepada U-Mobile.

“Vincent Tan adalah antara beberapa individu yang akan mendapat manfaat berganda hasil daripada pemberian spektrum 5G kepada U-Mobile.

“Sudah pasti beliau akan mempertahankan keputusan kerajaan demi mengaut keuntungan lebih banyak kekayaan,” katanya dalam akaun media Facebook beliau hari ini.

Menurut Wan Saiful yang juga merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, tiada sebarang masalah apabila taikun perniagaan tersebut memberi hujah perniagaan atau ekonomi mengenai perkara tersebut.

Tetapi tegas ahli politik itu, ia tidak bermakna bahawa Tan Sri Vincent mempunyai kebenaran dalam mengeluarkan komen berbau politik kepartian.

“Saya ingin memberi amaran agar beliau, jangan celupar mulut memberi komen berbau politik kepartian kerana beliau harus ingat bahawa rakyat Malaysia boleh memboikot rangkaian U Mobile pada bila-bila masa.

“Isu yang saya timbulkan ialah mengenai tadbir urus, ketelusan, kemampuan U Mobile dan kelestarian syarikat GLC milik rakyat. Saya tidak menyentuh keperibadian pemilik U Mobile.

“Tetapi jika beliau mahu berkelakuan biadab, maka jangan terkejut jika ada orang membuka pekung dirinya dan keluarganya pula nanti.

“Saya juga mencabar beliau umumkan berapa jumlah peningkatan nilai pegangan sahamnya dalam U Mobile selepas kerajaan umumkan pemberian spektrum 5G kepada syarikat tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful menyatakan sudah ramai pihak mempersoalkan hubungan Vincent Tan dengan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kata beliau lagi, Pengerusi tersebut juga merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

“Media melaporkan bahawa MRCB membentuk konsortium bersama-sama syarikat yang dimiliki Vincent Tan dalam membida projek mega HSR.

“Dengan hubungan yang sebegitu hebat antara dua individu sebegini, saya boleh tertanya-tanya adakah kita boleh yakin bahawa proses pemberian spektrum 5G adalah telus sepenuhnya?” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024

- Advertisement -