
JERAI: ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai telah menyantuni dan memberi penghargaan kepada para petugas sukarelawan sekitar DUN berkenaan.
Sukarelawan terbabit melibatkan antaranya anggota pasukan Bomba Sukarela dan pasukan St John Ambulance Malaysia, selain petugas van Jenazah Jerai.
Menurut Baddrol, program ini bertujuan menghargai pengorbanan serta sumbangan besar yang telah diberikan sukarelawan tersebut dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Saya berbangga dengan pengorbanan ikhlas mereka atas sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat, terutamanya penduduk di Gurun ini. Semoga usaha baik ini diteruskan dan dipermudahkan,” kata beliau.
Pada lawatan itu, seramai 40 petugas sukarelawan ditemui selain mereka juga menerima sumbangan berupa wang tunai serta hamper makanan.
Sumbangan itu kata Baddrol, sebagai tanda penghargaan dan tanda terima kasih atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjalankan tugas kemanusiaan ini.
Bekas pemain bola sepak tanah air itu berkata, sebagai wakil rakyat, adalah penting untuk mendekatkan diri kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
“Bagi saya, setiap lapisan masyarakat berhak untuk disantuni dan dihargai. Tidak ada perbezaan dalam memberikan perhatian dan sokongan kepada mereka,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau juga merasa gembira kerana kunjungan mereka diterima dengan baik, namun ada beberapa perkara yang dikemuka agar diambil perhatian oleh pihak beliau untuk dibawa ke peringkat atasan.
“Antaranya berkenaan penambahbaikan jalan di kawasan Gurun bagi memastikan keselamatan dan kemudahan kepada penduduk setempat,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/11/2024












