
KUALA LUMPUR: Penerimaan Malaysia sebagai rakan kongsi BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) yang bertujuan mencapai keseimbangan dalam memupuk hubungan erat dengan negara ekonomi baharu yang pesat membangun memerlukan penjelasan daripada kerajaan.
Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berkata, pada masa yang sama, ia perlu mengimbangi peranan BRICS sebagai pengimbang kepada penguasaan global Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Menurutnya, langkah itu juga perlu mengambil kira situasi geopolitik semasa, termasuk kesan didolarisasi di tengah perang perdagangan antara AS dan China.
“Dan bagaimanakah BRICS dapat dimanfaatkan untuk memberi Malaysia lebih autonomi dalam dasar luar untuk membolehkannya mengemudi antara kuasa global dengan lebih berkesan?
“Sebagai contoh memastikan akses kepada rangkaian ekonomi BRICS yang membuka kepada pasaran baharu benar-benar memberi manfaat dan limpahan ekonomi negara dan rakyat secara keseluruhannya?” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dalam jawapannya berkata, Malaysia baru-baru ini diterima sebagai negara rakan kongsi BRICS, yang memberi peluang untuk menghadiri sesi pertemuan BRICS sempena Sidang Kemuncak serta mesyuarat peringkat menteri luar.
Menurutnya, sebagai negara rakan, Malaysia juga akan dilibatkan dalam mesyuarat berkaitan sektor pelaburan, perdagangan, dan agenda BRICS.
Jelasnya, keanggotaan itu membuka peluang untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dalam bidang teknologi hijau, tenaga diperbaharui, dan pendidikan, sambil menggalakkan penggunaan ringgit dalam urus niaga antarabangsa.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan bagaimana pihak Kerajaan akan memastikan organisasi BRICS tidak mempengaruh urusan domestik dan politik negara kita serta memastikan institusi demokratik kita terjaga. – HARAKAHDAILY 6/11/2024











