
KUALA LUMPUR: Perancangan perlu dibuat oleh Kementerian atau Lembaga Peperiksaan agar kos yang dikutip daripada calon Sijil Amalan Guaman (CLP) digunakan sepenuhnya untuk pengurusan ujian CLP yang lebih baik.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, bahawa beliau memahami bahawa kadar kelulusan ujian CLP itu agak sukar dicapai.
“Soalan saya pada tahun inilah, berbanding tahun-tahun lepas, setakat ini berapa banyak permohonan dibuat untuk ujian ini, ujian CLP dan berapa banyak yang dah lulus peratusannya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V.Murugeson dalam jawapannya berkata, sebanyak 1,058 orang menduduki peperiksaan CLP, dengan 200 lulus, 164 lulus bersyarat, dan 694 gagal.
Menurutnya, pelajar yang tidak memenuhi syarat tidak seharusnya diberi kelulusan melalui pengurangan markah.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa cadangan untuk menurunkan fi sudah dibincangkan dengan pengarah CLP agar pelajar berpendapatan rendah diberi keutamaan, kerana agensi tersebut berorientasikan sosial dan bukan keuntungan.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah bayaran yang telah diterima oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang daripada calon-calon yang mengambil peperiksaan CLP bagi tahun 2024 dan Nyatakan secara terperinci, apakah jenis perbelanjaan dan jumlah yang telah dibelanjakan untuk peperiksaan CLP tahun ini (setakat ini). – HARAKAHDAILY 6/11/2024











